Malaysia! 2026 Tragedi Kem Hobart: Gambar terakhir Prebet Siti Khadijah jadi kenangan, Cemburu Atau Cinta Tidak Berbalas Dipercayai Motif Wanita Ditikam Di Alor Setar, Tidak boleh salahkan Malaysia krisis Rohingya tanggung 215600 pelarian, Nahas Simpang Renggam diklasifikasikan kes bunuh, Kes 6 lelaki China Taiwan jerat mangsa ‘Love Scam’ ditangguh Khamis ini, Pukul pembantu kedai Bangladesh dua lelaki didenda RM1500, Lelaki mengaku angkut empat migran warga Indonesia dipenjara dua tahun, Wanita Indonesia dipenjara kerana masuk secara haram, Lelaki Rohingya didakwa bunuh rakan senegara, cederakan isteri mangsa, Buruh Rohingya didakwa rompak rumah Datuk Razif Sidek, Permohonan pihak ketiga mahu cabar lucut hak jongkong emas terkait isteri PTD didengar 31 Julai, Dua rakan mengaku tidak bersalah rompak rantai emas lebih RM32000, Ibu muda mengaku salah sebabkan kematian bayi baru lahir, Dakwaan subahat bunuh suami Eng Eng dua lelaki lepas bebas, Kes bayi maut: Dua pekerja taska direman seminggu bantu siasatan, Ejen insurans didakwa cederakan anak, Lelaki patahkan cermin sisi kereta ditahan polis, Suami didakwa kes tipu: Azar Azmi mohon ruang, Bekas pembantu kewangan rebah dalam mahkamah selepas mengaku bersalah, Pembantu restoran dihukum penjara 24 bulan kerana menyamar polis, Lelaki serang ibu bapa guna pedang samurai diarah jalani pemeriksaan mental, Hana Ismail reda Da’i Syed kembali ke penjara – “Saya kuat hanya berdoa kepada Allah”, termasuk wanita remaja didakwa jadi ahli Geng Richi Vincent, Penghantar barang didakwa rogol kerani samun dan menyamar polis

2026.6.17 Tragedi Kem Hobart: Gambar terakhir Prebet Siti Khadijah jadi kenangan
Kluang: Sekeping gambar kiriman Prebet Siti Khadijah Sungip yang maut dalam insiden letupan bom di Kem Hobart, Sungai Petani, Kedah, menjadi kenangan terakhir yang ditinggalkan kepada ahli keluarganya.
Gambar terbabit dihantar Allahyarham menerusi kumpulan sembang keluarga di WhatsApp pada 12 tengah malam iaitu sehari sebelum kejadian menyayat hati itu.
Menurut kakaknya, Siti Zaiha, 39, arwah adiknya yang berusia 24 tahun menghantar gambar itu untuk memaklumkan dia sedang menjalani latihan selama lapan hari, yang termasuk menembak dan membaling bom tangan.
“Pada keesokannya kira-kira jam 8 pagi, arwah menghantar mesej memaklumkan dia akan menjalani latihan membaling bom tangan di padang kem terbabit.
“Arwah beritahu dia kumpulan terakhir yang menjalani latihan itu (baling bom). Saya kemudian menasihatkannya supaya berhati-hati serta mendengar arahan jurulatih dengan teliti serta fokus.
“Sekitar 11 pagi, ayah (Sungip Jais) hubungi saya memaklumkan adik kemalangan. Pada mulanya saya anggap ia kemalangan biasa dan ketika itu saya berada di Kuantan, Pahang,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Taman Sri Lambak, di sini, hari ini.
Menurutnya, disebabkan tidak mendapat maklumat jelas mengenai kemalangan menimpa Siti Khadijah, dia kemudian cuba mendapatkan nombor telefon pegawai bertugas menerusi kenalan.
“Sekitar 12 tengah hari kejadian, pegawai memberitahu adik cedera dan sudah meninggal dunia. Bila dapat tahu berita sebenar, ibu (Zaliha Said) beberapa kali pengsan dan bapa pula menjadi tidak kuat,” katanya.
Siti Khadijah adalah bekas graduan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) jurusan Diploma Teknologi Kejuruteraan Awam (Jalan Raya dan Pengangkutan).
Allahyarham juga daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang pernah menjadi penerima Anugerah Akademik Prajurit Wanita Muda Terbaik.
Siti Zaiha berkata, kali terakhir mereka berjumpa arwah adalah seminggu sebelum sambutan Aidiladha bulan lalu.
“Arwah pulang ke sini (Taman Sri Lambak) dua hari selepas bapa datang menjemputnya di Perak. Itulah kali terakhir ayah dan ibu jumpa adik sebelum pulang semula ke kem.
“Arwah dapat balik sebab Latihan Pasak Bumi tamat. Cita-cita arwah sebenarnya bukan menjadi tentera darat. Dia pernah temuduga pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tapi belum ada rezeki.
“Kalau ikutkan memang permintaan bapa mahukan arwah menjadi tentera. Lagipun bapa adalah bekas tentera,” katanya.
Terdahulu, pekarangan rumah keluarga sudah dipenuhi ahli keluarga, jiran dan kenalan yang menunggu ketibaan jenazah Siti Khadijah. Turut diadakan bacaan surah Yassin dan persiapan lain untuk pengebumian.
2026.6.16 Dua rakan mengaku tidak bersalah rompak rantai emas lebih RM32,000
KUALA LUMPUR: Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan membabitkan seutas rantai leher emas bernilai lebih RM32,000, awal bulan ini.
Tertuduh, Nagorkani Basheerali, 36, yang juga warga India dan lelaki tempatan M. Sarawana, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta milik seorang wanita, A. Ambigavathy, 65, iaitu seutas rantai leher emas (thali) bernilai RM32,204 di hadapan sebuah pasar pagi di sini, pada pukul 10.30 pagi, 5 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd. Radzuan tidak menawarkan jaminan terhadap Nagorkani memandangkan tertuduh merupakan warganegara India.
Bagaimanapun, sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, beliau memohon jumlah jaminan yang tinggi selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam bela, Gursharonjit Kaur yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan rendah dengan alasan anak guamnya masing-masing bekerja sebagai pekerja kedai makan dan ejen hartanah merupakan pencari nafkah tunggal yang menyara keluarga.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap Nagorkani selain menetapkan Sarawana diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia.
Kedua-dua lelaki itu turut diperintah menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah sehingga kes selesai.
2026.6.16 Pukul pembantu kedai Bangladesh, dua lelaki didenda RM1,500
MARANG – Gara-gara membelasah seorang pembantu kedai runcit warga Bangladesh yang disangka etnik Rohingya pada minggu lalu, dua lelaki masing-masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Marang di sini, hari ini.
Majistret Nur Athirah Hashim menjatuhkan hukuman tersebut berikutan pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh, Muhammad Adi Putera Razali, 23, dan Tengku Muhammad Adam Ikhram Tengku Mohd. Faizullah, 21, yang masing-masing bekerja sebagai buruh dan tukang rumah selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Adi Putera dan Tengku Muhammad Adam Ikhram didakwa bersama-sama kecederaan Mohammad Kamrul Islam, 34.
Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di sebuah kedai runcit di Kampung Mak Kemas, Marang pada pukul 7.15 malam, 9 Jun lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kosmo! 10 Jun lalu melaporkan dua pemuda direman polis selepas dipercayai memukul seorang lelaki warga asing di sebuah kedai runcit di daerah ini.

2026.6.16 Lelaki mengaku angkut empat migran warga Indonesia dipenjara dua tahun
KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah mengangkut empat lelaki warga Indonesia yang diseludup di Bau pada April 2025.
Hakim Wong Siong Tung menjatuhkan hukuman itu terhadap Kong Siew Soon, 43, yang didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dihukum di bawah akta sama.
Seksyen berkenaan membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertindak sebagai pemandu sebuah kereta didakwa telah mengangkut empat migran warga Indonesia yang diseludup sekitar jam 2.32 petang di tempat letak kereta berhadapan sebuah premis makanan di Jalan Datuk Salau, Bau pada 19 April 2025.
Mengikut keterangan kes, sepasukan penguat kuasa melaksanakan Ops Serkap pada hari kejadian dan memeriksa sebuah kereta di alamat tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan dipandu oleh tertuduh dan membawa empat migran lelaki yang disyaki warganegara Indonesia iaitu Marhun, 40, Suhun, 43, Lukmanul Hakim, 45, dan Anis, 52.
Pemeriksaan lanjut mendapati semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia mendapati tiada rekod kemasukan terkini ke Malaysia melibatkan empat pendatang yang diseludup tersebut.
Susulan itu, Marhun, Suhun, Lukmanul Hakim dan Anis masing-masing telah didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan masuk dan tinggal di Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah.
Kesemua lelaki terbabit mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dan mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman sewajarnya.
Sementara itu, tertuduh pula didapati telah terlibat dengan perbuatan mengangkut pendatang yang diseludup dan melakukan kesalahan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen Seksyen 26J ATIPSOM 2007.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kong Siew Chuo, sementara tertuduh diwakili peguam CM Sundram.

2026.6.16 Kes 6 lelaki China, Taiwan jerat mangsa ‘Love Scam’ ditangguh Khamis ini
Bukit Mertajam: Enam lelaki warga China termasuk seorang warga Taiwan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pakatan jenayah berkaitan sindiket penipuan dalam talian ‘Love Scam’ pada awal bulan lalu.
Bagaimanapun, Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit menetapkan pertuduhan terhadap kesemua mereka berusia berusia 20-an hingga 40-an itu akan disebut semula pada Khamis ini.
Ia selepas terdapat beberapa perkara dalam kertas pertuduhan yang perlu diteliti semula oleh pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 120B(1) kanun sama atas kesalahan menipu.
Jika sabit kesalahan, mereka bakal berdepan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sebelum ini, media melaporkan polis menumpaskan tiga sindiket penipuan antarabangsa termasuk ‘Love Scam’ hasil tiga serbuan berasingan di premis beroperasi sebagai pusat panggilan di sekitar Bukit Mertajam pada awal bulan ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail dilaporkan berkata seramai 10 warga asing membabitkan warga China dan Taiwan ditahan dipercayai terbabit dalam sindiket ‘Love Scam’ yang beroperasi di Taman Pinggiran Bukit Minyak.
“Sindiket itu dipercayai beroperasi sejak Januari lalu dengan menyasarkan mangsa dari Malaysia, China dan Taiwan,” katanya.
Polis turut menemui skrip penipuan digunakan sindiket dan merampas 16 unit komputer, 23 telefon bimbit, empat unit router WiFi dengan keseluruhan nilai dianggarkan RM78,000.

2026.6.15 Tidak boleh salahkan Malaysia krisis Rohingya, tanggung 215,600 pelarian
PETALING JAYA – Malaysia tidak boleh dipersalahkan atas jenayah dan penganiayaan yang berlaku di Myanmar, namun negara juga tidak boleh mengabaikan cabaran sebenar yang dihadapi rakyatnya sendiri.
Krisis pelarian Rohingya berpunca daripada tindakan dan dasar Myanmar sendiri akibat penganiayaan sistematik terhadap komuniti Rohingya.
Ia termasuk penafian kewarganegaraan, diskriminasi berstruktur, pemindahan paksa dan keganasan berskala besar.
Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), Azril Mohd. Amin berkata, tindakan itu telah didokumenkan secara meluas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta pelbagai mekanisme hak asasi manusia antarabangsa.
Oleh itu tegas beliau, adalah tidak tepat untuk mengalihkan tanggungjawab utama daripada negara punca krisis kepada negara-negara penerima seperti Malaysia.
“Malaysia telah menanggung sebahagian besar beban kemanusiaan serantau selama beberapa dekad. Menurut data UNHCR sehingga Februari 2026, Malaysia menempatkan kira-kira 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar, termasuk 193,824 dari Myanmar.
“Sekitar 126,144 daripadanya, merupakan etnik Rohingya. Ini menjadikan Malaysia antara negara yang menempatkan komuniti Rohingya terbesar di dunia di luar Bangladesh,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, walaupun Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mempunyai undang-undang pelarian khusus, majoriti Rohingya tidak ditempatkan di pusat tahanan imigresen.
“Sebaliknya, mereka hidup dalam komuniti, bekerja secara tidak formal dan menerima akses tertentu kepada bantuan kemanusiaan serta perkhidmatan asas.
“Hakikat ini menunjukkan bahawa Malaysia telah melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan yang jauh melangkaui kewajipan undang-undang antarabangsa yang terpakai ke atasnya,” ujarnya.
Bagaimanapun jelas beliau, pada masa sama, Centhra mengiktiraf kebimbangan rakyat Malaysia mengenai tekanan terhadap perkhidmatan awam, persaingan dalam sektor pekerjaan berpendapatan rendah, penempatan tidak terancang, isu keselamatan dan cabaran integrasi sosial.
Kerajaan menurut beliau, mempunyai hak dan tanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang imigresen, menjaga ketenteraman awam dan melindungi kepentingan nasional.
“Namun demikian, penguatkuasaan tersebut hendaklah dilaksanakan selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan standard kemanusiaan antarabangsa.
“Ia termasuk larangan terhadap layanan tidak berperikemanusiaan, penahanan sewenang-wenangnya dan pemulangan ke tempat yang berisiko tinggi terhadap nyawa atau keselamatan individu.
“Pendekatan yang matang memerlukan keseimbangan antara hak Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat untuk mengurus sempadan dan menjaga keselamatan negara, dengan tanggungjawab kemanusiaan,” jelasnya.
Azril berkata, walaupun Malaysia bukan pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951, beberapa prinsip undang-undang antarabangsa tetap relevan.
Antaranya ialah prinsip non-refoulement yang melarang penghantaran seseorang ke negara atau wilayah yang mana mereka berdepan risiko penganiayaan, penyeksaan atau ancaman serius terhadap nyawa dan kebebasan.
“Malaysia juga terikat dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang mewajibkan kepentingan terbaik kanak-kanak diberikan keutamaan dalam semua keputusan yang melibatkan mereka.
“Pada masa sama, undang-undang antarabangsa tidak mewajibkan Malaysia untuk memberikan kewarganegaraan, hak mengundi, status pemastautin tetap atau membuka sempadan tanpa kawalan kepada pelarian.
“Soal kawalan sempadan, imigresen dan kewarganegaraan kekal dalam bidang kuasa kedaulatan negara,” tambahnya.

2026.6.12 Wanita Indonesia dipenjara kerana masuk secara haram
KUCHING: Seorang wanita Indonesia dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah masuk ke negara ini secara haram.
Hakim Iris Awen Jon yang mengarahkan hukuman penjara bagi Eva Risti, 22, untuk dikuatkuasakan hari ini, turut memerintahkan dia dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya setelah selesai menjalani hukuman penjara kelak.
Eva didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.
Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, Eva ditahan sekitar jam 3.30 petang, 1 Jun 2026 di sebuah kedai makan di Taman Malihah, Jalan Batu Kawa di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian tambah nilai dalam talian.
Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh yang berasal dari Indonesia gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah yang membenarkannya memasuki dan tinggal di negara ini.
Berikutan itu, tertuduh telah ditangkap untuk tindakan lanjut.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng.
Sementara itu, Eva yang turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan bermain judi di tempat awam, dijatuhi hukuman penjara dua bulan berkuat kuasa hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nur Syaheeqa Nazwa Radzali setelah Eva mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, Eva didapati telah bermain judi dalam talian di tempat awam yang dilakukannya pada masa dan di tempat sama.
Turut dirampas daripada Eva adalah sebuah telefon bimbit, sekeping kad tertulis ID dan kata laluan serta wang tunai RM146.
Pendakwaan bagi kes di Mahkamah Majistret dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan.
Eva tidak diwakili peguam.

2026.6.12 Buruh Rohingya didakwa rompak rumah Datuk Razif Sidek
KUALA LUMPUR: Seorang buruh warga Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak kediaman legenda badminton negara Datuk Razif Sidek dengan bersenjatakan pisau, bulan lepas.
Mohamad Fawyas Yasin, 27, didakwa merompak harta milik Datuk Mohamad Razif Mohd Sidek, 64, dengan bersenjatakan pisau, di sebuah rumah di Jalan Damansara, Taman Tun Dr Ismail pada 12.20 tengah hari, 19 Mei.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan itu adalah serius selain kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik tertuduh telah tamat tempoh.
“Sekiranya jaminan dibenarkan dan tertuduh tidak hadir ke mahkamah, sukar untuk menjejaki keberadaannya memandangkan dia tidak mempunyai alamat tetap. Selain itu, tertuduh juga mengetahui alamat mangsa dan saksi, jadi dikhuatiri saksi-saksi akan diganggu,” katanya.
Sementara itu, Peguam Mansheel Kaur yang mewakili Mohamad Fawyas memohon jaminan rendah kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai buruh dan berpendapatan RM50 sehari dan perlu menyara isteri yang tidak bekerja serta seorang anak berumur 10 bulan.
“Tertuduh tinggal di negara ini selama 15 tahun dan berhubung dengan kad UNHCR, kad tersebut dalam proses untuk diperbaharu,” kata peguam itu.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin tidak membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan tiada kad UNCHR yang sah untuk dipertimbangkan mahkamah dan menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes. x1200
2026.6.11 Permohonan pihak ketiga mahu cabar lucut hak jongkong emas terkait isteri PTD didengar 31 Julai
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk mengeluarkan warta pihak ketiga, terhadap mana-mana individu yang berhasrat mencabar permohonan perlucutan ke atas jongkong emas seberat 3.85 kilogram (kg) yang disita daripada kenalan kepada isteri bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Salwani Anuar @ Kamaruddin.
Hakim Suzana Hussin menetapkan 31 Julai ini, bagi pendengaran permohonan itu daripada mana-mana individu yang mempunyai kepentingan ke atas jongkong emas yang disita daripada kontraktor Mohamad Amirul Yusrie Aminorddin @ Ab Kadir, 31.
Sekiranya tiada pihak ketiga tampil ke mahkamah, harta berkenaan akan dilucut hak kepada kerajaan.
Mahkamah membenarkan permohonan warta pihak ketiga itu mengikut Seksyen 41(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, agar notis kepada pihak ketiga dikeluarkan berikutan peguam Muhammad Kausar Mohd Khairi, yang mewakili Mohamad Amirul Yusrie mengesahkan pihaknya tidak membantah permohonan berkenaan.
Berdasarkan notis yang difailkan pada 4 Mei lepas, pendakwa raya memohon supaya jongkong emas seberat 3.85 kilogram yang disita di bawah Subseksyen 41(1) Akta SPRM 2009 dilucut hak kepada kerajaan.
Pada 15 Januari, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata nilai keseluruhan sitaan dalam operasi dinamakan Ops Parasit yang bermula sejak 23 Disember 2025 terhadap bekas PTD dianggarkan RM11.4 juta, manakala 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta telah dibekukan.
Antara sitaan dalam kes ini ialah RM4.4 juta wang tunai, RM1.4 juta mata wang asing, seunit kereta Range Rover SVR bernilai RM360,000 dan 26 jam tangan mewah bernilai RM2.3 juta.
Turut disita barang kemas bernilai RM294,039, dua cincin berlian bernilai RM20,000, jongkong emas 3.7 kilogram bernilai RM2.5 juta, medalion emas 150 gram bernilai RM102,000 dan dua dinar emas seberat 8.5 gram bernilai RM5,780.
2026.6.11 Lelaki Rohingya didakwa bunuh rakan senegara, cederakan isteri mangsa
NIBONG TEBAL: Seorang lelaki Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret Jawi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di sebuah kawasan perumahan, bulan lepas.
Osman Bawdi Alom, 38, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa membunuh Abdul Rahman Shah Mia, 31, juga lelaki Rohingya di Lorong Belibis 14, Taman Belibis, Seberang Perai Selatan di sini antara 2.45 hingga 2.50 petang 31 Mei.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Di mahkamah sama, Osman juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan menggunakan sebilah pisau terhadap isteri Abdul Rahman, Formin Lal Mia, 26, di lokasi dan pada masa yang sama.
Bagi kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin manakala lelaki itu diwakili peguam G.Sathiash.
Nurul Aina tidak membenarkan jaminan terhadap lelaki itu dan menetapkan 7 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan bedah siasat.
Sementara itu, prosiding pertuduhan terhadap dua wanita Rohingya yang turut ditangkap berkaitan kes tersebut ditangguhkan kepada 23 Jun bagi lantikan jurubahasa Myanmar kerana mereka tidak memahami bahasa Melayu.
Sebelum ini, polis mengesahkan penahanan seorang lelaki dan dua wanita bagi membantu siasatan kematian mangsa yang dipercayai akibat ditikam di beberapa bahagian badan selain isterinya juga cedera dalam kejadian pada petang 31 Mei.
2026.6.3 Ibu muda mengaku salah sebabkan kematian bayi baru lahir
JOHOR BAHRU: Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi perempuannya yang baru dilahirkan.
Nuran Batrisya Jamaludin, 22, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.
Dia didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian seorang bayi perempuan di tempat letak kenderaan di sebuah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Skudai antara 11 pagi hingga 2.30 petang pada 20 Mei lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 Julai depan untuk serahan dokumen, menunggu laporan bedah siasat serta keputusan hukuman.
Pegawai Pendakwa R. Nevina tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap wanita itu yang mempunyai seorang lagi bayi, iaitu kembar kepada mangsa.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin, selain dikenakan syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Sebelum ini, polis dilapor menahan seorang wanita tempatan kerana dipercayai mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat 10 sebuah rumah pangsa di bandar raya ini dalam kejadian pada Mei lepas.x1200

2026.6.3 Nahas Simpang Renggam diklasifikasikan kes bunuh
PETALING JAYA: Siasatan nahas yang mengorbankan lima nyawa dan mencederakan lapan yang lain di Simpang Renggam, Johor akan diklasifikasikan sebagai kes bunuh susulan tindakan memandu secara melulu dan berbahaya yang dipercayai menjadi punca tragedi tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguam Negara Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, pejabatnya akan meneliti hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum pertuduhan muktamad ditentukan.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut selepas kes seumpamanya masih berlaku biarpun tindakan undang-undang tegas termasuk pertuduhan membunuh pernah dikenakan sebelum ini.
“Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak akan berkompromi terhadap kes yang melibatkan pemanduan melulu sehingga mengancam keselamatan awam. Setiap kes akan dinilai berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh sepanjang siasatan.
“Walaupun pertuduhan membunuh telah dikenakan dalam beberapa kes terdahulu, kejadian sedemikian masih berlaku dan terus mengundang risiko besar kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya semalam.
Dalam kemalangan yang meragut nyawa empat sekeluarga dan pemandu BMW 530e di Jalan Renggam-Kluang kelmarin berpunca daripada tindakan pemandu dua buah kereta mewah memandu secara laju dan melulu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata siasatan mendapati kereta jenis BMW 530e dipandu lelaki berusia 22 tahun dalam perjalanan dari bandar Kluang menghala ke Simpang Renggam.
Menurutnya, kereta terbabit dipandu secara laju dan melulu bersama sebuah lagi Mercedes Benz A250 yang dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun.

2026.5.18 Cemburu Atau Cinta Tidak Berbalas Dipercayai Motif Wanita Ditikam Di Alor Setar
ALOR SETAR – Polis percaya tindakan seorang lelaki menikam kenalan wanitanya hingga cedera parah di bahagian leher dalam kejadian di Jalan Titi Gajah dekat sini malam tadi dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu atau cinta tidak berbalas.
Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 32 tahun dan mangsa berusia 35 tahun itu saling mengenali sejak lebih setahun lalu kerana kedua-duanya bekerja dalam bidang hartanah.
“Hubungan mereka dipercayai kenalan yang mana mereka bekerja dalam bidang sealiran iaitu sebagai ejen hartanah, namun syarikat yang berlainan.
“Setakat ini, kita percaya motif kejadian boleh jadi cemburu atau perasaan yang tidak berbalas. Namun siasatan lanjut berhubung perkara itu masih dilakukan,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah hari ini.
Mangsa Cedera Parah Di Leher
Memetik laporan Kosmo!, dalam kejadian kira-kira pukul 9.19 malam itu, mangsa yang juga ibu tunggal kepada dua anak dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas ditikam hingga tembus di bahagian kiri ke kanan leher.
Menurut polis, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di tempat duduk pemandu manakala suspek berada di bahagian penumpang hadapan kereta jenis Mazda berkenaan.
“Kejadian berlaku ketika mangsa dipercayai duduk di tempat pemandu, manakala suspek di tempat duduk penumpang hadapan.
“Mangsa sempat membunyikan hon beberapa kali bagi menarik perhatian orang awam sebelum suspek melarikan diri. Tindakan pantas orang awam dan kakitangan sebuah klinik berhampiran yang memberi bantuan awal dipercayai berjaya menyelamatkan nyawa mangsa,” jelasnya.
Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital.
Polis Masih Kesan Senjata Digunakan
Dalam pada itu, polis turut giat mengesan senjata yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.
“Kita masih mengesan senjata tajam yang digunakan dalam kejadian itu yang mana ia boleh jadi pisau ‘rambo’, alat pemecah ais atau pemutar skru,” ujarnya.
Susulan kejadian itu, suspek yang merupakan seorang duda berjaya diberkas kira-kira empat jam selepas melarikan diri.
“Suspek berjaya ditahan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) kira-kira pukul 1.50 pagi tadi ketika bersembunyi di kawasan rumah ibadat (masjid) di Taman Uda.
“Dia dipercayai melarikan diri dengan meredah kawasan bendang untuk ke lokasi tersebut yang sejauh kira-kira 6.2 kilometer,” katanya.
Suspek Ada Rekod Lampau
Tambah beliau, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes menikam seorang wanita yang didakwa teman wanitanya sebelum ini.
Bagaimanapun, kes tersebut tidak diteruskan selepas mangsa terdahulu tidak berminat untuk meneruskan pertuduhan terhadap suspek.
Menurut Adzli, suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.
2026.4.24 Dakwaan subahat bunuh suami, Eng Eng, dua lelaki lepas bebas
SHAH ALAM: Seorang jurubahasa swasta dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini daripada pertuduhan bersubahat membunuh suaminya Chow Tiam Hee, tiga tahun lalu.
Selain Leong Eng-Eng, 41, turut dibebaskan dua lagi lelaki Mok Kum Loon, 41, dan Lim Yon Hay, 40 yang dikatakan turut bersubahat dengannya.
Pembebasan itu diputuskan oleh Hakim Norliza Othman selepas mendapati pembelaan gagal membuktikan kes prima fasi terhadap kesemua tertuduh pada akhir kes pendakwaan.
Katanya, pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima fasi ke atas pertuduhan dihadapi oleh semua tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 dan 109.
Mahkamah turut menarik balik pertuduhan terhadap adik Yon Hay iaitu Lim Yoon Loon, 35, yang meninggal dunia akibat tibi pada tahun lalu.
“Elemen (bunuh) tidak wujud kerana kegagalan pihak pendakwaan membuktikan kematian si mati adalah akibat perbuatan tertuduh-tertuduh berdasarkan teori yang dikemukakan dan selepas penilaian maksimum serta keterangan saksi-saksi pendakwaan.
“Untuk membuktikan Eng Eng melakukan pembunuhan atau mencederakan si mati hingga menyebabkan kematian, pihak pendakwaan memerlukan lebih daripada sekadar menunjukkan ada tompokan darah di baju dan seluarnya,” katanya.
Malah, Hakim turut menegaskan tiada sebarang keterangan atau dokumentari daripada mana-mana 22 saksi yang dipanggil membuktikan persubahatan tertuduh-tertuduh untuk membunuh Tiam Hee, 41.
“Pihak pendakwaan perlu membuktikan Eng Eng menghasut, mengarahkan dan atau berkonspirasi dengan Kum Loon, Hon Hay, Yon Loon dan Yong Chuan (yang meninggal dunia) dalam melakukan pembunuhan tersebut.
“Pihak pendakwaan perlu membuktikan tertuduh-tertuduh merancang atau berbincang antara satu sama lain untuk membunuh si mati. Laporan pemeriksaan telefon bimbit yang dirampas tidak dikemukakan ke mahkamah,” jelasnya.
Bahkan, menurut Hakim Norliza, rakaman daripada kamera litar tertutup yang dikemukakan juga tidak boleh diterima apabila pihak pendakwaan gagal mengemukakan sijil di bawah Seksyen 90A Akta Keterangan 1950 bagi menyangkal hujahan pembelaan bahawa ia dokumen janaan komputer.
Selain itu, tiada keterangan menunjukkan wang berjumlah RM2,600 yang dirampas daripada Hon Hay diterimanya sebagai upah.
“Pihak pendakwaan atau pegawai penyiasat gagal untuk mencantumkan (keterangan dan bukti) bagi menunjukkan satu rangkaian yang merujuk kepada perbuatan tindakan kepada tertuduh-tertuduh,” ujarnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli, manakala peguam Datuk Mohd. Daud Leong Abdullah mewakili Eng Eng, sementara Tan Choon Hong dan V. Ayasamy mewakili Yon Hay.
Pada September 2022, ibu kepada empat orang anak itu berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh suaminya dalam satu rompakan palsu dekat rumahnya di Sungai Udang.
x1200
2026.3.11 Bekas pembantu kewangan rebah dalam mahkamah selepas mengaku bersalah
GEORGETOWN: Seorang bekas pembantu kewangan sebuah syarikat swasta rebah dalam mahkamah selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan pecah amanah wang berjumlah RM219,885 di Mahkamah Sesyen 1 di sini.
Tertuduh, Lee Lay Peng, 47, dilihat terpaksa dipapah dua pegawai polis wanita di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan, dia mengaku melakukan pecah amanah wang di Syarikat Bold Integrated Service Sdn Bhd, Metro Avenue, Lintang Hajjah Rehmah, Jelutong dalam Daerah Timur Laut pada 13 Januari 2020 hingga 5 April 2020.
Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu jatuh hukuman.
Tertuduh memaklumkan dia sedang berbincang dengan pihak syarikat untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah dan berhasrat memulangkan semula semua wang itu.
“Saya sedang berusaha cari duit untuk bayar balik duit itu. Saya tak lari daripada kesilapan yang sudah saya lakukan ini. Saya sangat menyesal dan insaf. Saya mohon berikan saya masa dan peluang untuk menyelesaikan kes ini,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 22 April sebagai tarikh serahan dokumen.
Di Mahkamah Sesyen 1, tertuduh juga didakwa dengan empat pertuduhan pecah amanah membabitkan jumlah wang sebanyak RM677,629.50 kira-kira lapan tahun lalu.
Lay Peng mengaku bersalah atas semua tuduhan berasingan itu di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Berdasarkan tiga pertuduhan, dia yang bertugas sebagai pembantu kewangan didapati melakukan pecah amanah ke atas harta syarikat untuk kepentingan diri ketika diamanahkan menguruskan wang berjumlah RM457,744.50.
Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu di lokasi sama pada 16 Jun 2017 hingga 27 Disember 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun serta sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, Darrshini menawarkan wang jaminan berjumlah RM30,000 bagi setiap pertuduhan dan tertuduh juga diminta melapor diri di balai polis setiap awal bulan sehingga kes selesai.
Tertuduh kemudiannya merayu agar wang jaminannya dikurangkan memandangkan dia adalah ibu tunggal yang perlu menyara dua anak berusia 17 dan 18 tahun yang masih bersekolah.
Dia turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa dirinya berdepan masalah kemurungan dan perlu mengambil ubat untuk merawat penyakitnya selain telah memberi kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang siasatan kes itu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 14 April depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman dan mendengar fakta kes.
2026.3.11 Suami didakwa kes tipu: Azar Azmi mohon ruang
SEREMBAN – [DIKEMAS KINI] “Saya minta maaf ya, kalau boleh bagi ruang kepada saya. Insya-ALLAH, kalau ada apa-apa saya beritahu.”
Demikian kenyataan ringkas daripada pelakon Azar Azmi atau nama sebenarnya Siti Azar Ameerah Azmi,35, ketika disapa pemberita di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Pelakon terbabit yang memakai jubah dan tudung berwarna hitam tiba sekitar jam 10 pagi ditemani dua remaja dipercayai anaknya.
Dia hadir untuk mengikuti prosiding kes suaminya yang berdepan dua pertuduhan menipu atas urusan mendapatkan darjah kebesaran Datuk dan tanah kurniaan negeri Selangor melibatkan kerugian keseluruhan RM293,931 pada tahun lalu.
Bagaimanapun, suaminya Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan.
Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa atas pertuduhan didapati dengan curangnya telah menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara atas talian ke akaun bank milik seorang wanita berusia 35 tahun.
Di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk membuat pembayaran wang sebanyak RM23,120 untuk urusan mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk yang tidak wujud.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank cawangan Dato’ Bandar Tunggal dan sebuah pejabat di Seremban 2 antara 2 April hingga 12 November 2025.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pelakon berkenaan dibebaskan polis sekitar jam 8 pagi pada Rabu.
“Dia dibebaskan untuk dijadikan saksi pendakwaan bagi kedua-dua kes.
“Saya difahamkan pasangan ini turut disiasat berhubung kes tipu pelaburan jual lembu di Kuala Lumpur dan masih menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan,” katanya.
2026.3.11 Lelaki patahkan cermin sisi kereta ditahan polis
KUALA LUMPUR – Lagak samseng seorang lelaki bertindak mematahkan cermin sisi sebuah kereta dipercayai akibat berang laluan parkir dihalang mengundang padah apabila dia diberkas pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, tangkapan dilakukan susulan video kejadian itu yang tular di media sosial.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 8.40 malam, Isnin.
“Laporan dibuat berkaitan satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial TikTok oleh pemilik akaun yang memaparkan seorang individu mematahkan cermin sisi sebuah kereta.
“Kejadian dipercayai berlaku di sekitar kawasan Cheras, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jelasnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menjalankan operasi bagi mengesan suspek.
“Hasil operasi, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia lewat 30-an di sekitar kawasan Cheras pada jam 12.28 pagi, Rabu.
“Suspek dipercayai individu yang terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya.
Mohd Rosdi berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku akibat suspek berang selepas laluan keluar parkirnya dihalang oleh sebuah kenderaan jenis Perodua Alza.
Menurutnya, suspek kemudian bertindak mematahkan cermin sisi kenderaan berkenaan.
“Suspek telah dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan reman.
“Mahkamah membenarkan reman selama tiga hari bermula 11 Mac sehingga 13 Mac bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang individu bertindak mematahkan cermin sisi sebuah kenderaan di sini.
2026.3.11 Ejen insurans didakwa cederakan anak
JOHOR BAHRU – Seorang ejen insurans didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan anak tunggalnya pada bulan lalu.
Tertuduh, Ng Cha Yee, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.
Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun telah menganiayanya sehingga mendatangkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan tangga sebuah blok bangunan di Bandar Baru Permas Jaya, Masai di sini, kira-kira pukul 5 petang, 24 Februari lalu.
Tertuduh yang sudah bercerai dengan suami itu didakwa mengikut Seksyen 31(1) Αkta Κanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.
Seksyen itu turut memperuntukkan tambahan hukuman iaitu dikenakan bon jaminan untuk berkelakuan baik dan melaksanakan khidmat masyarakat antara 36 jam hingga 240 jam dalam masa enam bulan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah sekiranya ada, tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Peguam Mohd Azlan Shah Mohd Allias yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang lebih rendah memandangkan anak guamnya yang juga ibu tunggal hanya mampu menyediakan wang jaminan sebanyak RM10,000 setakat ini.
“Tertuduh sudah bercerai dan kini bekerja sebagai ejen insurans dengan pendapatan RM3,900 sebulan. Dia mempunyai tanggungan dan komitmen bulanan antara RM2,500 hingga RM3,000 termasuk sewa rumah, ansuran kereta, makan minum dan lain-lain.
“Tertuduh tidak mempunyai risiko melarikan diri kerana sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis dari awal ditahan dan disiasat,” katanya.
Pihak pembelaan yang turut diwakili peguam Jason Nazrin Tan turut memberitahu mahkamah bahawa tertuduh hanya mengetahui bahawa terdapat laporan polis dibuat terhadapnya oleh bekas suami pada 6 Mac lalu ketika hadir ke balai polis untuk memaklumkan tentang ‘kehilangan’ anaknya.
“Pada 6 Mac lalu, ketika waktu giliran penjagaan anak, anak tertuduh tidak pulang ke rumah. Malah, guru besar ada hubungi tertuduh memaklumkan anaknya itu tidak hadir ke sekolah.
“Tertuduh cuba menghubungi bekas suaminya, namun gagal sebelum dia hadir ke balai polis untuk buat laporan, namun dimaklumkan terdapat satu laporan polis dibuat ke atasnya.
“Anak guam saya tidak langsung melarikan diri selepas mengetahui perkara itu, malah memberi kerjasama menunggu di balai polis sehingga ditahan, direman dan hari ini dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 terhadap tertuduh berserta tiga syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 13 April depan.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Cha Yee didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mencederakan anak tunggalnya
DUA pekerja taska dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini bagi mendapatkan perintah reman susulan kes kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ), semalam.
2026.3.10 Kes bayi maut: Dua pekerja taska direman seminggu bantu siasatan
BUKIT MERTAJAM : Dua pekerja taska direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, semalam.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Roshayati Radellah bagi membolehkan kedua-dua suspek wanita yang berusia 22 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 8.35 pagi dengan diiringi oleh anggota polis dalam keadaan tangan yang bergari.
Bayi malang berkenaan, Hayl Haarith Mohd. Syafaeez sebelum ini dilaporkan tidak sedarkan diri ketika dijumpai di taska terbabit sebelum disahkan meninggal dunia semasa sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.
Susulan kejadian itu, dua suspek wanita yang juga merupakan pekerja taska tersebut ditahan bagi membantu siasatan.
2026.2.12 12 termasuk wanita, remaja didakwa jadi ahli Geng Richi, Vincent
JOHOR BAHRU: Seramai 12 individu termasuk seorang wanita dan seorang remaja lelaki didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menjadi ahli dua kumpulan jenayah terancang, sejak dua tahun lalu.
Semua tertuduh mengakui memahami pertuduhan dihadapi mereka, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim dan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Bagi enam individu pertama, Lim Kam Weng, 26; R Kesava Raj, 20; bersama empat tahanan penjara, I Richi, 22; L Navindran, 26; Mohamad Hazwan Sazali, 38; dan J Jivaneswaran, 25; didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Richi’.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Permainan MBPG (Majlis Bandaraya Pasir Gudang), Jalan Suria 52, Taman Suria, Masai di sini, antara Februari 2024 hingga 21 September 2025.
Sementara enam lagi individu, M Vimalanraj, 27; M Nageswaran, 33; Tommy Voo Tze Hau, 28; I Abdul Rahufur Rahim, 31; Kuek Pei Lin, 20; bersama-sama remaja lelaki berusia 17 tahun itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Vincent’.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Lagenda 34, Taman Lagenda Putra, Kulai, antara Mac 2025 hingga 15 Januari 2026.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Lokman Kasim.
Sembilan tertuduh tidak diwakili peguam, manakala tertuduh wanita, Pei Lin dan remaja lelaki diwakili peguam Woon Wai King, manakala peguam Sharifah Annafiza Al-Shahab Syed Fadzli mewakili tertuduh, Tommy.
Ketiga-tiga mahkamah menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik telefon bimbit dan tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas semua tertuduh.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, dua kumpulan jenayah terancang itu akan didakwa hari ini yang mana kedua-dua kumpulan berkenaan masing-masing terbabit dengan kegiatan pecah rumah dan kedai serta sindiket pemerasan seksual dalam talian.
Beliau dilaporkan berkata, kedua-dua sindiket jenayah terancang itu menyebabkan kerugian keseluruhan melebihi RM4 juta.
2026.1.27 Penghantar barang didakwa rogol kerani, samun dan menyamar polis
KLANG: Penghantar barang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menyamun dan merogol seorang wanita serta menyamar sebagai anggota polis di kawasan parkir Jalan Tapah di sini, dua minggu lalu.
Tertuduh, R Sathiyaseelan, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol seorang wanita berusia 37 tahun yang juga kerani sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa di kawasan parkir Jalan Tapah di sini, jam 2 pagi pada 18 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376(2) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Sathiyaseelan bersama seorang rakannya M Balaraj, 34, didakwa bersama-sama melakukan samun berkumpulan iaitu telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM110 terhadap mangsa sama di lokasi, pada masa serta tarikh yang sama.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar yang mengendalikan kes tidak menawarkan sebarang jaminan, namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan mesti disertakan dengan syarat tambahan iaitu lapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam Nathiya Kamalanathan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon supaya membenarkan ikat jamin paling rendah kerana dua anak guamnya itu adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan menjadi penanggung tunggal kepada ibu masing-masing yang menghidap penyakit diabetes serta darah tinggi.
Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar kemudian membenarkan Sathiyaseelan diikat jamin keseluruhan RM17,000 manakala Balaraj (RM7,000) dan membenarkan syarat tambahan seperti yang dinyatakan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 5 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Dituduh menyamar polis
Di Mahkamah Majistret, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyamar sebagai penjawat awam iaitu anggota polis untuk melakukan perbuatan seolah-olah menjalankan tugas rasmi di lokasi sama, pada masa dan tarikh sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Syuhada Rosli.
Majistret A Karthiyayini membenarkan mereka diikat jamin masing-masing RM3,000 dengan seorang penjamin dan turut menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mac depan.
x1200
2026.1.23 Hana Ismail reda Da’i Syed kembali ke penjara – “Saya kuat, hanya berdoa kepada Allah”
Isteri kepada pendakwah terkenal, Da’i Syed iaitu Hana Ismail memilih untuk mengunci mulut dari mengeluarkan sebarang komen terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengekalkan hukuman penjara 10 tahun terhadap suaminya.
Memetik laporan mStar, Hana, 39, berkata, dia hanya reda dengan keputusan itu dan menyerahkan segala urusan kepada peguam.
Reda suami kembali ke penjara
Hana Ismail Reda suami kembali ke penjara
“Tiada komen, insya-Allah saya kuat dan Allah akan urus serta permudahkan segala urusan.
“Saya serahkan semuanya kepada peguam dan hanya berdoa kepada Allah sahaja. Insya-Allah, saya bertawakal,”kata Hana, hari ini.
Perkara itu dikongsikan secara rigkas oleh Hana sewaktu ditemui petugas media sejurus selesai prosiding rayuan kes rogol melibatkan suaminya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada pagi Jumaat.
Dia hadir menemani suaminya di mahkamah bagi mendengar keputusan rayuan dan kelihatan tenang ketika bertemu media.
Menurut keputusan mahkamah, Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, kekal bersalah atas kesalahan merogol seorang wanita pada tahun 2019.
Mahkamah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Syed iaitu penjara 10 tahun serta tiga sebatan.
Syed juga diperintahkan untuk menjalani hukuman bermula hari ini dan dibawa terus ke Penjara Kajang.
Hakim Datuk Adlin Abdul Majid menegaskan keputusan Mahkamah Sesyen dibuat berasaskan bukti kukuh serta penilaian tepat terhadap keseluruhan kes pendakwaan dan pembelaan.
Untuk rekod, pada 10 Disember 2020, Syed mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah bilik kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, pada 11 September 2019 pada jam 1.35 pagi.
Pada 30 Ogos tahun lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Syed selepas didapati bersalah.
Namun, dilepaskan sementara bermula 20 September 2024 sehingga prosiding rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.
2026.1.9 Pembantu restoran dihukum penjara 24 bulan kerana menyamar polis
TELUK INTAN: Seorang pembantu restoran dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan termasuk menyamar sebagai pegawai polis dan memiliki pistol tiruan, Disember lalu.
Tertuduh, Teh Wei Xiang, 21, dijatuhi hukuman itu setelah membuat pengakuan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang masih bujang itu didakwa menyamar kepada mangsa berusia 35 tahun sebagai penjawat awam iaitu pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner di sebuah rumah di Bagan Ikan, Bagan Datuk pada pukul 4.10 pagi, 15 Disember 2025.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali kerana memiliki senjata tiruan berupa sepucuk pistol di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Selain itu, tertuduh juga didakwa bagi dua pertuduhan iaitu melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman mangsa dan menakutkan secara jenayah ke atas wanita terbabit dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.
Dua kesalahan yang dituduh mengikut Seksyen 448 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu dilakukan tertuduh di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Terdahulu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Saravanan memberitahu mahkamah bahawa tertuduh membeli pistol tiruan itu melalui platform eDagang Lazada dengan harga RM168.
Katanya, tertuduh memberitahu, dia menyerbu kediaman mangsa selepas mengesyaki terdapat kegiatan jual beli dadah dan mahu memberkas suspek terlebih dahulu sebelum memaklumkan kepada polis.
“Tapi malangnya yang kena tangkap adalah dirinya sendiri. Tertuduh berjanji, sekiranya ada kegiatan jual beli dadah, dia akan terus beritahu pihak polis. Dia juga memohon maaf dan minta agar dikenakan hukuman denda,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Darwis Aghniya Halim Azizi bagaimanapun memohon hukuman berat berupa penjara dikenakan terhadap tertuduh ekoran kesalahan serius yang dilakukannya kerana menyamar sebagai pegawai polis dengan membuat ugutan jenayah bagi menakutkan mangsa.
Katanya, alasan tertuduh bahawa rumah berkenaan merupakan sarang dadah adalah tidak munasabah kerana kegiatan itu sepatutnya dilaporkan kepada polis, bukannya bertindak sendiri.
“Tertuduh telah melakukan persediaan untuk membuat penyamaran dan bukan dilakukan secara spontan. Mohon hukuman penjara dikenakan agar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam supaya tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.
Naidatul Athirah kemudian menjatuhkan hukuman penjara satu tahun bagi kesalahan menyamar polis dan menceroboh kediaman manakala bagi ugutan jenayah dan memiliki pistol tiruan masing-masing membawa hukuman penjara dua tahun dan enam bulan
Kesemua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkapan pada 5 Januari lalu.
2026.1.2 Lelaki serang ibu bapa guna pedang samurai diarah jalani pemeriksaan mental
IPOH: Lelaki yang didakwa mencederakan ibu bapanya menggunakan pedang samurai dalam kejadian di Bandar Baru Putra, Bercham minggu lalu, diperintah menjalani pemeriksaan psikiatri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad memerintahkan tertuduh, Muhammad Aiman Suhaimi, 30, dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Terdahulu, Muhammad Aiman yang memakai pakaian hospital membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah kepada bapanya, Suhaimi Dawi, 58, dan ibu, Shahaliza Ahmad Hashim, 58, dengan menggunakan pedang samurai.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Persiaran Putra, Bandar Baru Putra dalam daerah Kinta pada pukul 6.30 pagi, 26 Disember 2025.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 326 kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M. Raveenaa memberitahu mahkamah bahawa ibu bapa tertuduh yang cedera dalam kejadian itu, masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Beliau berkata, tertuduh selepas kejadian telah memanjat bumbung rumah sebelum menjerit dengan laungan Allahuakbar.
“Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan mahkamah dimohon merujuk lelaki itu ke HBUK bagi menjalani pemeriksaan mental,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 31 Januari depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Menerusi laporan media, suspek yang dipercayai mengalami masalah mental itu ditahan pihak polis selepas mencederakan ibu bapanya menggunakan pedang samurai dalam kejadian amuk di Persiaran Putra, Bandar Baru Putra.
Berdasarkan siasatan, suspek mendakwa tidak sedarkan diri ketika bertindak demikian selain memberitahu yang dia berasa dikejar hantu semasa kejadian berlaku.
Hasil semakan pihak polis mendapati, lelaki terbabit mempunyai rekod rawatan kesihatan mental dan dia pernah menerima rawatan di sebuah hospital psikiatri sebelum ini.

评论

发表回复

您的邮箱地址不会被公开。 必填项已用 * 标注

More posts